Wednesday, June 3, 2009

Debat Piala DYMM Sultan Zainal Abidin 2009

Assalamualaikum wbt

Semoga berjaya kepada pendebat-pendebat pertandingan Debat Piala DYMM Sultan Zainal Abidin 2009. Saya berharap agar para pendebat dapat menimba banyak pengalaman dalam pertandingan tersebut. Tanamkan niat dalam diri bahawa anda menyertai pertandingan tersebut adalah untuk memperbaiki kelemahan diri dan belajar daripada kesilapan. Kalah dan menang tidak menjadi persoalan kerana kemenangan akan datang sekiranya anda layak untuk menang. Apa yang penting, belajar, belajar dan teruskan belajar. Jangan lupa untuk sentiasa berdoa kepada Allah agar memberikan kita petunjuk dan yang terbaik untuk kita semua. Sekian. Wassalam.

'Siapkan diri dengan ilmu dan Taqwa'


'DEBAT ITU SENI'

Daripada,

Presiden
KDBM Kuantan 2008/2009

Sepintas tentang KDBM Kuantan

Assalamualaikum wbt.

Sejarah penubuhan

Sedikit coretan tentang Kelab Debat Bahasa Melayu kampus Kuantan. Sebenarnya kelab ini merupakan kelab yang masih lagi baru ditubuhkan iaitu pada tahun 2007. Ianya telah diasaskan melihat kepada kepentingan debat dalam memupuk semangat keyakinan diri dan kemahiran berfikir secara terbuka, kritis dan kreatif. Kita sedar dalam proses melahirkan individu yang cemerlang dari segala aspek, kemahiran sosial seperti pengucapan awam sangat mempengaruhi dalam pembentukan karakter seseorang individu. Walaupun kampus Kuantan ini terdiri daripada pelajar-pelajar dalam jurusan sains seperti Bioteknologi, Biomedik, Sains Kesihatan Bersekutu, Perubatan, dan matematik, kebolehan dalam pengucapan umum masih menjadi keutamaan di alam pekerjaan. Kemahiran berinteraksi secara hormat dan berprotokol mampu dipupuk melalui latihan dan juga pembelajaran secara teori. Disamping itu, dengan terdapatnya pertandingan-pertandingan debat seluruh Malaysia, ianya berjaya menjadi pengukur terhadap penguasaan kemahiran sosial dan keupayaan minda pendebat itu sendiri untuk berfikir secara matang. Justeru, melalui kesedaran betapa pentingnya aktiviti debat ini, UIAM kampus Kuantan telah berjaya menubuhkan kelab debatnya yang tersendiri dan juga didorong oleh Kelab Debat cawangan kampus utama iaitu Kelab Debat Bahasa Melayu Gombak.

Ahli-ahli

Memandangkan KDBM Kuantan ini masih baru lagi ditubuhkan, kebanyakan ahli-ahlinya terdiri daripada pendebat-pendebat yang baru. Akan tetapi, ingin saya tekankan bahawa tujuan penubuhan kelab debat bagi kampus Kuantan bukanlah untuk melahirkan pendebat semata-mata. Sebaliknya, konsep pendidikan dan penerapan kemahiran 'soft skill' dan kemahiran bersosial menjadi agenda utama kelab ini dengan memberikan ruang dan peluang yang terbuka kepada para pelajar untuk menyertai kelab tanpa mengira latar-belakang mereka sama ada berpengalaman dalam debat ataupun tidak. Saya yakin 'Seribu langkah bermula dari langkah yang pertama' -tanpa yang pertama, tak akan ada yang kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Cuma setiap ahli perlulah memahami sekadar mendaftarkan diri sahaja tanpa mengaktifkan diri dalam aktiviti kelab tidak mencukupi. Sebaliknya, gerak kerja bersama-sama akan menjadikan kelab dan individu itu sendiri lebih berkeyakinan dalam melakukan apa sahaja aktiviti tanpa mengenal erti penat. Sehingga kini, kelab debat sangat mengalukan-alukan para pelajar untuk menyertai kelab ini.

Aktiviti-aktiviti

Oleh kerana kelab ini lebih mengutamakan kemahiran sosial khususnya pembinaan karakter, aktiviti kelab lebih tertumpu terhadap latihan bercakap, membuat kajian secara terperinci terhadap sesuatu isu dan kemahiran berorganisasi. Selain itu, terdapat juga perlawanan persahabatan yang di adakan di antara IPTA/IPTS di sekitar Pahang. Tidak ketinggalan, aktiviti seperti Hari Keluarga, Jamuan Berbuka Puasa, dan Jamuan Raya turut diadakan.

Harapan

Saya berharap kelab debat akan terus maju dan dapat memberikan khidmat kepada masyarakat khususnya kepada warga kampus. Biarlah kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi antara kita kerana setiap individu dianugerahkan keupayaan yang sama dan kelebihan yang bebeza dari Tuhan yang Maha Pemurah. Semoga kita semua berjaya.

'DEBAT ITU SENI'

Dari meja,

Mohd. Ramadan bin Ab.Hamid
Presiden
Kelab Debat Bahasa Melayu kampus Kuantan, UIAM
sesi 2008/2009